Penterjemah Kitab Induk Pensucian Diri (IPD)

 

Syed Ahmad.0

 

Syed Ahmad Semait

Ustaz Syed Ahmad Semait atau nama sebenarnya Syed Ahmad bin Muhammad Semait adalah seorang penulis dan penterjemah Singapura. Ustaz Syed Ahmad dilahirkan di Singapura pada hari Isnin 29 Rabiulawal 1352 bersamaan 21 Ogos 1933 daripada keluarga berketurunan Arab Yaman, yang mana ayahnya pernah bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat tanah estet dan bergiat aktif dalam Persatuan Arab Singapura, sementara ibunya berasal dari Kemaman, Terengganu.

Ustaz Syed Ahmad mempunyai dua adik-beradik lelaki dan perempuan daripada perkahwinan pertama ibunya dan memiliki tiga adik-beradik lelaki dan dua perempuan daripada satu ibu dan ayah.

Pada usia 12 tahun Ustaz Syed Ahmad kematian ayahnya. Tanpa bantuan mana-mana pihak dalam membantu membesarkan beliau serta adik-adiknya, sanak-saudara terdekat mencadangkan agar beliau dan adik bongsunya iaitu Syed Isa (Mufti Singapura sejak 1970 – kini) menetap di rumah anak-anak yatim yang dikenali sebagai Malja’ al-Aitam yang kemudian ditukar nama kepada Darul Ihsan.

Suasana baru di tempat rumah anak-anak yatim itu tidak membantu beliau dan adiknya untuk meneruskan pengajian, maka Ustaz Syed Ahmad mengambil keputusan untuk bekerja sementara bagi meringankan bebanan keluarga yang ditanggung oleh ibunya.

Walau bagaimanapun beliau mendapat pendidikan secara percuma (kerana ia wakaf) di Madrasah Al-Junied al-Islamiah (satu-satunya sekolah agama di Singapura yang melayakkan pelajarnya melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar dan beberapa universiti Timur Tengah kerana semua subjek diajar dalam Bahasa Arab). Beliau adalah antara pelajar cemerlang pada zamannya di mana beliau bersekolah pagi di Madrasah al-Junied dan sebelah petang di Raffles Institution yang menempatkan pelajar-pelajar cemerlang dalam bidang akademik. Setelah tamat Tahap 6, beliau tidak menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi kerana masalah kewangan dan bekerja sepenuh masa di sebuah kedai kain terkemuka milik Syeikh Umar bin Abdullah al-Khatib yang juga tokoh terbilang di Singapura.

Atas minatnya yang mendalam dalam menimba ilmu beliau mengikuti pengajian pada sebelah malam iaitu pengajian agama secara tradisional daripada Pengetua Madrasah al-Junied, Syeikh Abdullah Balfaqeh yang merupakan ulama yang didatangkan khas dari Hadramaut, Yaman. Pada hujung minggu beliau mengikuti pengajian dengan membaca kitab-kitab thurath (lama/kuning) dalam pelbagai disiplin ilmu seperti tafsir, hadis, fiqh, tasawwuf dan sebagainya daripada Syekh Umar bin Abdullah al-Khatib pemilik kedai kain di mana beliau bekerja dengannya. Syekh Umar menerimanya bukan sekadar pekerjanya tetapi turut mengiktirafnya sebagai salah seorang pelajar yang amat cemerlang dan mencurah segenap ilmu yang ada kepadanya. Walaupun Syekh Umar telah meninggal dunia pada 22 September 1997, kelas-kelas pengajiannya masih berjalan sampai ke hari ini dan dikendalikan oleh adiknya, Syed Isa Semait, Mufti Singapura.

 

Syed_Ahmad_Muhammad_Semait

Memulakan kerjaya perniagaan kitab Arab

Minat Ustaz Syed Ahmad dalam perniagaan buku-buku agama dalam bahasa Arab semakin mendalam dan mengembangkan perniagaan itu bersama-sama adiknya, Syed Umar Semait. Pada 1950, beliau meletakkan jawatannya sebagai pekerja di kedai kain gurunya dan memulakan perniagaan menjual buku-buku rujukan agama Arab dengan syarikatnya yang dikenali sebagai Al-Maktabah At-Tijariah Asy-Syarqiah.

Pada 1957, beliau bersama Kiayi Zuhri Mutamim (mantan Mudir Madrasah al-Junied), Ustaz Ahmad Sonhadji Mohammad telah mengasaskan Persatuan Guru-Guru Agama Singapura (PERGAS) yang bertujuan menyatupadukan fikrah para alim ulama di Singapura.

Penglibatannya dalam perniagaan buku-buku Arab adalah untuk menampung keperluan keluarga termasuk ibunya serta untuk menanggung adiknya, Syed Isa Semait menyambung pengajiannya di Universiti al-Azhar dan menjadikan adiknya sebagai wakil syarikatnya mengendali buku-buku agama dalam bahasa Arab di Kaherah, Mesir.

Perniagaannya semakin maju dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat Islam setempat yang menyokong usahanya itu. Walau bagaimanapun, Ustaz Syed Ahmad Semait memikirkan bagaimana bahan-bahan agama itu dapat dimanfaatkan oleh masyarakat Melayu-Islam di Singapura, maka beliau menubuhkan Pustaka Nasional yang masih wujud hingga ke hari ini bagi menyediakan buku-buku ilmiah agama dalam bahasa Melayu dan berhasrat untuk menjadikan syarikatnya sebagai medium dakwah.

Beliau memulakan penulisan buku-buku agama disamping aktif menterjemah buku-buku agama ilmiah yang disusun oleh ulama-ulama terkemuka seperti Syeikh Ibnu Qayyim al-Jawziyyah, Ibnu Kathir dan tokoh-tokoh penulis terkenal dari Indonesia seperti Pak Hamka termasuk penulis-penulis tempatan.

Antara buku-buku yang disusun oleh Ustaz Syed Ahmad Semiat ialah:

  1. Buku Kuliah Subuh dalam 3 jilid membicarakan Hadis 40.
  2. Hadis Qudsi – Analisis dan Komentar dalam 2 jilid.
  3. 10 yang dijamin masuk Syurga.
  4. 100 tokoh wanita terbilang.
  5. Untaian Kisah Para Wali
  6. Syarah Ratib al-Haddad

Buku-buku yang diterjemahkan oleh Ustaz Syed Ahmad Semait ialah:

  1. Israk dan Mikraj oleh Abdul Halim Mahmud, 2001 (150 muka surat)
  2. Kurnia Rabbani Limpahan Rahmani oleh Sidi Syeikh Abdul al-Jailani
  3. Dakwah Yang Sempurna Peringatan Yang Utama – Imam Habib Abdullah Haddad
  4. Al-Adzkar Lin Nawawi – Imam An-Nawawi
  5. Tatatertib Pengajian al-Qur’an – Imam An-Nawawi
  6. Belitan Iblis – Ibnul Qayyim
  7. Dosa-dosa Besar – Muhammad bin Ahmad Ad-Dzahaby
  8. Benteng Diri Ahli Hakikat – Syed Ahmad Ar-Rifa’i
  9. Halam dan Haram Dalam Islam – Dr. Yusuf al-Qaradhawi
  10. Taubat dan Liku-Likunya – Imam al-Ghazali
  11. Rahsia Sufi – Syekh Abdul Qadir al-Jailani
  12. Untaian Kisah Nabi dan Para Sahabat – Al-Kandahlawi
  13. Petunjuk Thariqat ke Jalan Akhirat – Imam Habib Abdullah al-Haddad
  14. Bimbingan Mukmin – Imam al-Ghazali
  15. Nasihat Agama dan Wasiat – Iman Habib Abdullah al-Haddad
  16. Petunjuk Jalan Thariqat/Penuntun Hidup Bahagia – Imam Habib Abdullah al-Haddad
  17. Masalah Sufi – Abu Said al-Kharraz
  18. Peringatan Tentang Umum Insan – Imam Habib Abdullah al-Haddad
  19. Mukjizat al-Qur’an – Muhammad Mutawalli Sya’rawi
  20. Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam – Prof. Dr. Abdullah Nasih Ulwan
  21. Roh – Ibnul Qayyim
  22. Was-was – Ibnul Qayyim
  23. Induk Pensucian Diri – Syed Hawa
  24. Kifayatul Akhyar – Imam Taqiyuddin Abu Bakar bin Muhammad al-Husaini
  25. Sahih al-Bukhari – Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari

Ustaz Syed Ahmad Semait meninggal dunia pada 15 Julai 2006 dalam satu kemalangan jalan raya di Batu Pahat, Johor iaitu ketika dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Singapura setelah menyampaikan beberapa siri kuliahnya di ibu negara Malaysia.

 

 

 

 

%d bloggers like this: