Gambar Hiasan

Pagi masih lagi muda. Aku mendekati seorang mak cik yang terlihat sedang keletihan dalam mencari ritma nafas yang selesa. Dadanya turun naik mencari oksigen untuk diisi ke dalam paru-paru. Senyuman masih juga dihadiahkan kepadaku.

“Assalamualaikum mak cik. Mak cik masuk  wad ni kenapa ye mak cik? Hari ni rasa macam mana?” Tanyaku sebagai permulaan. File pesakit kubelek satu persatu.

“Waalaikumussalam. Mulanya mak cik tak sedarkan diri kat rumah. Darah tinggi. Anak-anak bawa mak cik ke hospital. Enam hari mak cik di ICU. Tapi, Allah masih nak berikan peluang untuk mak cik hidup. Alhamdulillah, dua hari lepas mak cik dah sedar. Sebab tu sekarang kat sini. Masih kena tahan lagi. Sebab tekanan darah belum stabil. Tapi macam dah sihat sikit.”

“Mak cik rasa macam mati hidup semula. Mak cik ingatkan enam hari tak sedarkan diri tu memang Allah dah nak panggil balik. Rupanya Dia masih beri peluang hidup pada mak cik. Mungkin Allah nak bagi peluang untuk mak cik bertaubat lagi,” jawab mak cik itu dalam nada kesal.

Aku mengangguk dan senyum. ‘Tinggi juga tekanan darah mak cik ni, patutla dia kata umpama mati hidup semula,’ aku bermonolog.

Tiba-tiba pesakit lain yang berada di kubikel belakang tidak sedarkan diri. Sekelip mata suasana berubah cemas. Doktor yang bertugas segera bertindak mengembalikan semula nafas pesakit yang hilang seketika tadi.

Lima belas minit bergelut dengan masa dan akhirnya Allah masih juga berikannya peluang kedua. Walaupun matanya terus pejam, namun nafas dan nadi yang hilang seketika tadi kembali berentak.

Sudah tertulis bukan lagi masanya untuk dia kembali. Mungkin masih banyak tanggungjawabnya di dunia yang masih belum selesai. Betapa Allah itu Maha Berkuasa untuk segala sesuatu. Sesaat detik nadi hilang, sesaat juga ia dikembalikan.

“Maha suci Allah yang di tangan-Nya segala kerajaan, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Al-Mulk: 1-2)

Mati. Satu perkataan yang sering kita dengar. Juga satu perkataan yang amat digeruni oleh sesetengah individu. Ada yang percaya bahawa perkataan ini membawa malang jika disebut berulang kali. Tapi, bukankah menurut Islam mengingati mati itu menghidupkan hati?

Ibnu Umar berkata: “Aku bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada Baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?

Baginda menjawab: “Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang-orang yang cerdik.” (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)

Mengapa Rasulullah menyuruh kita mengingati mati? Kerana mati itu pasti. Tidak kira walau di pelusuk dunia mana sekalipun kita berada, tidak kira di gua mana sekalipun kita bersembunyi.

Jika sudah sampai masanya kita dipanggil untuk menghadap Illahi, kita takkan mampu lari dari kematian.

Sumber : iluvislam

Dapatkan Pendrive Persiapan Kematian untuk dihadiahkan Pada Diri Sendiri, Orang Tersayang, Ibu Bapa, Kawan-kawan atau adik beradik. Semoga ianya menjadi Amal Jariah kita yang berterusan, Inn sya Allah.

Klik Gambar di bawah untuk dapatkan Pendrive Persiapan Kematian :

👇🏻👇🏻👇🏻👇🏻

%d bloggers like this: